Thursday, April 21, 2011

Syukurlah Kamu Kerana.....


Bersyukurlah kepada Tuhan apabila melihat bayang-bayang sentiasa mengekori setiap langkah anda... kerana itu bererti anda masih mempunyai matahari yang menyinari hidup ini.


Panjatkanlah kesyukuran kepada Tuhan jika banyak pakaian anda yang sudah sempit... kerana ini bermakna anda cukup makan, tidak hidup dalam kedaifan.


Bersyukurlah kepada Tuhan kerana terpaksa membersihkan lantai, mencuci tingkap serta membuang habuk yang melekap di dinding... kerana itu bererti anda mempunyai rumah untuk berteduh.


 Panjatkanlah kesyukuran kepada Tuhan apabila anak anda bersungut semasa membuat kerja-kerja dapur... kerana itu bermaksud dia kini berada di rumah, bukan berpeleseran dengan kawan-kawannya.


Bersukurlah juga kepada Tuhan apabila terpaksa mengemas rumah yang berselerak selepas majlis keramaian... kerana itu bermaksud anda masih dikelilingi sahabat handai.


Panjatkanlah kesyukuran kepada Tuhan andainya terpaksa meletakkan kenderaan anda jauh di satu sudut... kerana itu bererti anda mempunyai kenderaan dan masih dikurniakan-Nya kudrat untuk berjalan.


Bersyukurlah kepada Tuhan setiap kali anda berasa penat dan letih pada penghujung hari... kerana ini bermakna anda masih berupaya untuk bekerja kuat demi keluarga tercinta. 


Bersyukurlah kepada Tuhan jika setiap malam tidur anda diganggu bunyi dengkuran suami... kerana itu bererti dia tidur di rumah, di sebelah anda, bukannya dengan orang lain.


Berterima kasihlah kepada Tuhan kerana setiap tahun anda terpaksa membayar cukai pendapatan... kerana itu membawa erti anda masih mempunyai pekerjaan. 


Panjatkanlah kesyukuran kepada Tuhan apabila diganggu bunyi bising kenderaan yang lalu-lalang... kerana itu bermaksud anda masih mempunyai pendengaran.


Bersyukurlah kepada Tuhan apabila mimpi indah anda pagi ini terbantut oleh bunyi bising deringan jam loceng... kerana ia bererti anda masih bernyawa, dan sempat lagi untuk mengucapkan kesyukuran di atas segala rahmat dan nikmat yang diberikan-Nya.


ALHAMDULILLAH!!!


-Dipetik dari Mastika edisi Februari 2007-

No comments:

Post a Comment