Tuesday, March 22, 2011

Tentera Gaddafi Diserang Lagi




TRIPOLI 21 Mac – Kuasa Barat melancarkan gelombang kedua serangan udara ke atas Libya awal hari ini selepas menyekat kemaraan tentera Muammar Gaddafi ke Benghazi dan membedil sistem pertahanan udara bagi membolehkan pesawat tentera bersekutu meronda di ruang udara negara ini.

Campur tangan ketenteraan dinamakan Operasi Odyssey Dawn dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sokongan Liga Arab itu bertujuan untuk melindungi penduduk awam yang terperangkap dalam pemberontakan menentang Gaddafi sejak sebulan lalu.

Namun serangan itu telah dikritik oleh Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa yang mempersoalkan keperluan untuk melancarkan bedilan besar-besaran yang katanya telah membunuh ramai penduduk awam.

Moussa juga berkata, operasi ketenteraan itu sudah terkeluar daripada objektif ‘zon larangan terbang’ yang disokong oleh Liga Arab.

Bagaimanapun Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan udara dengan bantuan Britain, Perancis, Itali dan Kanada antara lainnya berkata, kempen itu berhasil dan AS menolak gencatan senjata yang diumumkan oleh tentera Libya malam tadi.

Kementerian Pertahanan Britain berkata, sebuah kapal selamnya sekali lagi melancarkan peluru berpandu Tomahawk malam tadi sebagai sebahagian gelombang serangan kedua untuk menguatkuasakan resolusi PBB itu.

“Kami dan rakan-rakan kami meneruskan operasi bagi menyokong Resolusi 1973 Majlis Keselamatan PBB,” kata seorang jurucakap kementerian.
Itali berkata, pesawat perangnya turut meronda di ruang udara, selepas kapal-kapal perang AS dan Britain melancarkan 110 peluru berpandu Tomahawk ke Libya lewat kelmarin dan pagi semalam.

Pengarah Turus Bersama tentera AS, Laksamana Bill Gortney memberitahu wartawan di Pentagon, tidak ada aktiviti udara atau pancaran radar baru yang dilakukan oleh tentera Libya tetapi mereka sebaliknya telah jelas mengurangkan pemantauan udara sejak serangan bermula lewat kelmarin.

Benghazi yang menjadi pangkalan pemberontak masih belum bebas daripada ancaman, kata Gortney tetapi tentera Gaddafi di kawasan itu dalam keadaan tertekan, tidak keruan dan tersisih selepas serangan udara. – Reuters



Sumber dipetik dari UTUSAN.

No comments:

Post a Comment