Monday, May 23, 2011

Perjalanan Ke Utara







Ini adalah sebuah kisah realiti. Kisah yang benar-benar terjadi. Semua watak yang disebut di dalam kisah ini benar-benar hidup dan bernyawa. Segala babak yang berlaku sepanjang kisah ini juga benar-benar terjadi. Jadi, jutaan terima kasih kepada anda yang BENAR-BENAR membaca cerita ini sehingga ke penamatnya. Ambillah pengajaran dan simpannya di dalam longkang tepi jalan. Biarlah pengajaran itu dikongsi bersama orang lain.

Semuanya bermula pada satu malam yang sejuk. Bermulanya kisah ini dengan satu panggilan telefon daripada tanah Selatan iaitu Batu Pahat,Johor. “Perjalanan ke Utara Malaysia”,inilah tajuk kisah ini. Kisah yang melibatkan tiga orang anak muda ini berlaku pada bulan Februari 2011 sebelum Tahun Baru Cina. Anak-anak muda itu adalah Khairul, Sofwan, dan Kiu.


Khairul dan Sofwan tinggal di utara tanah air, manakala Kiu menetap di kawasan Lembah Kelang. Setiap daripada mereka ini belajar di institut pengajian tinggi yang berbeza. Rasanya, tidah perlulah dinyatakan di sini tempat pengajian mereka. Kerana kisah ini adalah mengenai perjalanan mereka yang penuh ranjau dan duka, bukannya kehidupan anak muda di universiti. Mungking lain kali si pengarang akan menulis cerita sebegitu. Tetapi, bukan untuk kali ini.

Maka, kisah pun bermula. Pada satu malam yang indah, satu panggilan masuk ke telefon Khairul. “Hello?” panggilan dijawab. “Hello,sihat? Aku ada cadangan baik punya ni.” sapa si penelefon yang mana sudah diketahui namanya, Sofwan. “Cadangan apa pulak ni?” balas Khairul. “Jom pi kuale weekend ni. Aku ada reunion budak matrix kat Ipoh hari Ahad. Aku nak ajak hang join aku. Kita singgah Kuale dulu.” kata Sofwan dengan gembiranya. Memang mereka berdua ini selalu melawat Kuala Kangsar kerana Bandar DiRaja Perak ini sudah diibaratkan seperti rumah kedua mereka. Mana tidaknya, mereka telah menghabiskan masa selama lima tahun menetap di sana ketika menuntut ilmu di Sekolah Melayu Jalan Stesen. “Hahaha…Aku setuju! Tapi,aku tak ikut hang pi Ipoh nanti. Aku terus balik Kedah hari Sabtu.” cadang Khairul dengan ideanya yang ala-ala bernas gitu.

Apabila keputusan sudah dibuat, segala cadangan dipersetujui, tarikhnya disepakat, hanya tinggal satu lagi langkah iaitu membeli tiket. Al-maklumlah,semuanya masih lagi belajar. Masih belum mampu memiliki kereta walaupun angan-angan itu sudah dipacak ketika bersekolah dahulu. Akhirnya, pengangkutan awamlah yang menjadi pilihan utama.

Tiba-tiba, satu masalah yang tak disedari timbul. Ada miscommunication yang berlaku. Sofwan mengkhabarkan kepada Khairul bahawa ada seorang lagi kawan akan menyertai perjalanan mereka ini. Kawan itu adalah Kiu. Kawan kepada Sofwan. Namun, Khairul tidak mengenali Kiu seperti mana Sofwan mengenalinya. Hal ini hanya terjadi sebelum perjalanan bermula. Selepas perjalan berakhir, Khairul sudah mengenali Kiu secukupnya. Kini, kawan Sofwan sudah menjadi kawan Khairul. Kiu bukanlah bekas pelajar Sekolah Melayu Jalan Stesen. Tetapi, sudah menjadi niat Khairul dan Sofwan untuk membawa Kiu ke sekolah mereka yang penuh dengan keramat itu, dan menunjukkan kepada Kiu kenangan yang tidak dapat dilupakan mereka selama lima tahun menghuni sekolah lama itu.

Khabar Sofwan, “Kita akan gerak ke kuale dengan kereta kawan aku.”. Khairul gembira. Tidak lama selepas itu, berita baru sampai “Tak jadi gerak ngan kereta. Kita gerak dengan bas. Kawan aku ikut sama.” Kata Sofwan. Disampuk Khairul “ OK! Aku beli tiket bas.”… “Beli dua tau!” balas Sofwan. (Sebenarnya beli dua itu telah disalah-ertikan oleh Khairul. Khairul beranggapan, memang beli dua la. “Aku ngan Sofwan”.  Tetapi, beli dua itu bermaksud, beli dua tiket untuk Sofwan dan Kiu. Maknanya beli tiga tiket untuk ke kuale. Malangnya, salah-faham ini tidak diambil peduli dari kedua-dua pihak dan ia dibiarkan hanyut dipukul angin langit. Maka, kisah pun bersambung.

Hentian Duta - Tempat anak-anak muda ini menaiki bas ke Utara.

Petang Khamis yang penuh sibuk dengan kereta,motosikal,lori dan teksi, Sofwan pun sampai di Kuala Lumpur. Disambut Khairul di Stesen Bas Sementara Bukit Jalil. Dek kerana masing-masing berasa lapar, mereka pun menjamu selera di Kedai Sup Meletup, Bandar Tasik Selatan. Supnya yang amat sedap membuatkan Khairul dan Sofwan menjadi pelanggan tetap di kedai itu. Ketika menjamu selera, tiba-tiba Sofwan membuka cerita. Cerita yang bakal menghuru-harakan perjalanan mereka. “Hahahaha…!!!!” gelak si penulis cerita ini. “Berapa tiket hang beli?” Tanya Sofwan. “Beli dua la. Aku dengan hang.” Balas Khairul dengan selambanya. “APA? Dua ja?” kata Sofwan separuh terkejut ala-ala biawak ternampak telur ayam. “Habis tu kawan aku nak naik apa? Sebab dalam telefon hari tu, aku cakap beli dua tiket untuk aku ngan kawan aku.” Sambung Sofwan lagi. Masing-masing terpinga sampaikan tidak sedar sup di dalam mangkuk sudah kering dihirup mereka. “Macam ni la. Suruh kawan hang tu beli tiket pi Ipoh esok. Tiket pi Ipoh kan banyak. Dah sampai Ipoh, suruh dia pi Medan Kidd. Then, amik bas pi kuale. Kan senang. Bagi dia belajar untuk survive. Hahaha…” Celah Khairul dengan ideanya yang cukup bersifat kejam namun sebenarnya penuh dengan kasih sayang. “Aku setuju. Kejap, aku nak bagitau kawan aku.” Kata Sofwan. Setelah panggilan dibuat, masalah pun selesai. Hanya selesai untuk sementara.

Sup Meletup, Bandar Tasik Selatan

Keesokan harinya, selepas solat Jumaat Khairul dan Sofwan pun bergerak ke Hentian Duta menaiki teksi dengan tambang RM8. Sampai di sana, mereka pun menunggu bas yang dijadualkan seperti tertera pada tiket. Tunggu punya tunggu, namun bas tidak juga tiba. Puas mereka berulang-alik ke kaunter menanyakan tentang bas yang tak kunjung tiba itu. Hanya jawapan sama diterima mereka “Tunggu. Bas lambat sikit.” Akhirnya, pada kali terakhir mereka bertanya, si penjaga kaunter berkata dengan selamba dan tidak bersalahnya, “Bas ke kuale dah lama jalan pun.” Terkejut mereka sebentar. Masing-masing menjadi tidak keruan. Masakan tidak, bas sudah meninggalkan mereka. Apa nak buat???

Maka, kertas kerja pun dibuka. Sambil menyedut asap rokok Winston, pelbagai idea dicurah ibarat mencurah air ke atas pasir kering, yang mana membawa mereka kepada idea terakhir iaitu beli tiket ke Ipoh dan berjumpa Kiu di sana. “Mungkin takdir sudah menentukan yang kita perlu membantu Kiu (kononnya la).” Kata Khairul dan dipersetujui oleh Sofwan. Tiket pun dibeli dan mereka pun bergerak ke Ipoh dengan hati yang sudah lega kerana satu masalah telah diselesaikan. Tapi, masih ada masalah yang menanti mereka di Ipoh. Jeng! Jeng! Jeng!

Apa masalah itu? Benarkah masalah ini akan menyusahkan mereka hingga hilang idea untuk menyelesaikannya? Di samping itu, setelah tiga jam perjalanan yang menempuh pekan Gopeng, mereka akhirnya sampai ke Stesen Bas Medan Gopeng. Sungguh lama perjalanan mereka. Mana tidaknya, bas yang sepatutnya melalui lebuhraya, tiba-tiba keluar awal di satu persimpangan sebelum Ipoh. Kononnya, hendak menurunkan penumpang yang terhegeh-hegeh mahu turun di pekan berdekatan rumahnya. Amboi! “Ko ingat syarikat bas ni bapak ko yang punya! Suka-suka hati nak turun tepi jalan. Menyusahkan orang lain!”. Inilah sebabnya mereka lambat tiba di bandar Ipoh.

Jam sudah pun menunjukkan waktu 7.45 p.m. Iya. Sudah masuk waktu Maghrib ketika itu. Sesudah Khairul dan Sofwan turun daripada bas, mereka terus mencari Kiu. Mujurlah pencarian mereka tidak lama, kerana Kiu hanya berdiri di hadapan ruang menunggu bas. Ketika tangan mula bertemu tangan, tanda perkenalan dan pertemuan antara sahabat, mereka mula berbual bicara. “Moh le kite gerak ke kuale sekarang.” Kata Khairul. Cadangannya dipersetujui oleh Sofwan dan Kiu. Lantas, mereka menuju ke kaunter bas Sri Maju, kerana inilah satu-satunya bas ekspress untuk ke kuale. Pada asalnya, mereka merancang untuk ke Medan Kidd. Kerana di situ adanya dua tiga jenis syarikat bas yang menawarkan perkhidmatan bas ke kuale. Namun, waktu pun sudah malam. Sudah pastinya perkhidmatan bas sudah pun tamat. Kini, hanya satu pilihan yang mereka ada, iaitu menaiki bas Sri Maju.

Alangkah malang tidak berbau. Memang malang tidak berbau. Jika tidak, sudah pasti mereka sudah  mengesannya sejak awal. Rupa-rupanya, bas Sri Maju untuk ke kuale paling akhir sudah bergerak pada pukul 7.30 p.m. Mereka mula hilang arah. Dengan tidak semena-mena, terdengar satu suara dari belakang mereka, “Adik-adik ni nak pergi mana?” tegur seorang pakcik merangkap pemandu teksi di situ. “Kami nak ke Kuale. Tapi bas dah takde la pulak.” Jawab Khairul. Balas pakcik tersebut “Kalau macam tu, mari le naik teksi.” Idea yang bernas! Tetapi, melihat kepada tambangnya, mereka bertiga merasakan sudah tidak bernas idea itu! Mahal sungguh. Tambangnya mencecah RM70.

Terduduk mereka di kerusi putih di luar kaunter bas. Masalah baru sudah muncul. Harus mencari penyelesaiannya. Jadi, kertas kerja pun dibuka. Seperti biasa, asap Winston dijadikan penenang minda. Pelbagai idea dicurahkan ibarat air terjun yang jatuh ke batu yang akhirnya berkecai menjadi titisan. Idea yang diberikan, satu pun tak boleh pakai. Akhirnya, masing-masing mengeluarkan telefon bimbit. Masing-masing menghubungi rakan-rakan berdekatan untuk meminta bantuan. Paling kurang pun, memberikan mereka tempat tinggal untuk semalaman. Atau pun yang paling bagusnya, menghantar mereka bertiga ke kuale pada malam itu juga.  Tetapi, kesemuanya mula menjadi kekecewaan apabila rakan-rakan yang dihuhubungi tidak dapat membantu.

Medan Gopeng - Tempat mereka terperangkap dengan masalah baru.

Tanpa disedari, pakcik merangkap pemandu teksi tadi muncul kembali di hadapan mereka untuk menawarkan perkhidmatannya LAGI. Kini, mereka buntu. Haruskah mereka menerima tawaran pakcik itu? Suasana hening seketika. Ditambah dengan bunyi bas ekspress yang bergerak satu persatu meninggalkan perhentian bas, membuatkan mereka bertiga bertambah runsing. Adakah ini penamat untuk perjalanan mereka? Sudah tiada lagikah cara lain? Orang tua-tua pernah berkata, “Alang-alang menyeluk perkasam biarlah sampai ke pangkal lengan!”. Bertunjangkan kepada pepatah yang ala-ala nak patah itu, maka mereka bertiga pun mencapai kata sepakat. “Perjalanan harus diteruskan! Kita tidak boleh gagal di sini! Ini hanyalah satu lagi dugaan untuk kita!”. Amboi! Sungguh bersemangat betul tiga orang anak muda ini. Atas kesungguhan itulah mereka bertiga pun bermesyuarat ala-ala Mesuarat Agung UMNO di tepi jalan untuk membincangkan tawaran pakcik tersebut. Setelah 1800 saat berlalu, akhirnya mereka mengambil kata sepakat. Mahu tidak mahu, terpaksalah menggunakan perkhidmatan teksi. Walaupun berat hati untuk dibayar tambangnya, namun demi Sekolah Melayu yang dicintai dan rancangan yang sudah disusun rapi, mereka mengalah juga kepada tambang RM70 itu. Aduhai RM70! Melayang juga engkau malam itu.

Enjin teksi dihidupkan. Perjalanan mereka pun bersambung. Diingatkan sekali lagi! Kisah ini adalah mengenai perjalanan tiga orang anak muda yang cekal hati. Jadi, perlukah diceritakan apa yang terjadi di dalam teksi tersebut? Kalau anda berminat, sila taip MINAT dan hantar ke 0306605807. Caj telko tidak akan dikenakan kerana penulis sendiri tidak tahu menahu tentang perkhidmatan undi-mengundi ini. Penulis sendiri amat membenci rancangan realiti, termasuklah MLM! Maafkan penulis kerana terkeluar tajuk cerita. Bak kata pepatah, ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak tulis buat diam saja la”. Penulis amat malas untuk menekan butang DELETE mahupun UNDO di atas kotak tingkap Mikrolembut Word.

Mari kita sambung kisah anak-anak muda ini! (Di dalam teksi)…..

Beberapa tajuk perbualan terjadi di antara mereka bertiga dengan pemandu teksi sepanjang perjalanan dari Ipoh ke Kuala Kangsar, termasuklah isu kemalangan bas di Simpang Pulai menuju ke Cameron Highlands, kes merompak pemandu teksi, pemandu teksi diganggu makhluk halus, pemandu teksi diculik dan dibunuh, dan bermacam-macam lagi isu hangat ketika itu, hinggakan air embun melekat di cermin kereta pun dijadikan sebagai isu. Kerana asyik berbual, mereka tidak sedar sudah sampai ke Bandar kuale. Dengan perut yang sedang mengalunkan lagu ‘Relaku Pujuk’,  mereka bersepakat untuk melantak dahulu makanan di sebuah restoran kegemaran mereka iaitu Benteng CafĂ©. “Pakcik, tolong turunkan kami di restoran tepi sungai ye.” Kata Sofwan. “Baiklah adik.” Balas pakcik itu sambil tersenyum. Al-maklumlah, kejap lagi RM70 nak masuk poket. Berbaloi juga kudratnya menghantar anak-anak muda itu sampai ke pekan kuale. Setelah menerima tambang, pemandu teksi itu terus memandu teksinya pulang semula ke Ibu negeri Perak, Ipoh.

Highway PLUS menjadi saksi perjalanan mereka pada malam itu.

Kini, tibalah mereka bertiga di Bandar Diraja Kuala Kangsar. Bandar tempat bersemayamnya DYMM Sultan Perak. Alangkah gembiranya mereka! Gembira kerana berjaya sampai di kuale, gembira kerana perut sudah kenyang. Tambahan pula, masing-masing sudah menyempurnakan misi yang dirancang hampir dua minggu, sudah tentulah gembiranya bukan kepalang.

Setelah perut sudah diisi dengan rezeki Allah, mereka mula membuka langkah ke rumah seorang pakcik yang telah lama mereka kenali ketika tinggal di situ dulu. Inilah tempat tinggal mereka untuk sehari dua ini. Oleh kerana masa yang sering mencemburui mereka, maka mereka harus masuk ke sekolah mereka pada malam itu juga. Untuk melawat tempat-tempat lama ketika bermain dan jatuh dahulu. Oh ya, jangan tanya kenapa masa mencemburui mereka! Ini bukan kisah cinta tiga segi mahupun kenapa kekasihku main kayu tiga. Ini kisah ini la!

Di hadapan pintu masuk mereka berdiri. Meminta izin pada penjaga pintu pagar. Namun, permintaan mereka tidak diendahkan. Diabaikan seolah-olah mereka bertiga tidak wujud di situ. Hantukah mereka? Kalau hantu, dah lama mereka cekik penjaga pagar itu sampai mati kerana sombong dan kurang ajarnya. Walaupun berkali-kali ditanya, hanya jawapan bodoh dilemparkan. Bodoh sungguh di penjaga pagar!

Dek kerana cara baik tidak diterima, mereka bertukar kepada cara jahat a.k.a nakal. Mereka pun masuk melalui jalan belakang. Jalan yang pernah mereka gunakan suatu ketika dahulu untuk keluar malam. Dan mereka pun Berjaya. Mulalah mereka berjalan-jalan melihat tempat keramat itu. Seolah-olah masuk ke pulau fantasi. Mereka terus lupa bahawa mereka kini sudah besar dan bukan lagi budak-budak. Mereka mula menjadi budak semula. Hahahaha…. Indah sungguh tempat itu.

Di atas gelanggang tenis, mereka menjamu selera dengan makanan bungkus yang pernah mereka makan dahulu. Rasanya tetap sama. Kiu yang baru mengenali tempat itu turut berkongsi perasaannya dengan Khairul dan Sofwan. Sungguh mengasyikkan apabila angin kuale yang sepi-sepoi bahasa itu menerpa ke pipi mereka. Ibarat menjadi tradisi, asap Helang Merah menjadi santapan selepas makan.

Kuala Kangsar

Akhirnya, segala penat lelah mereka berbaloi juga. Walaupun pelbagai masalah muncul, mereka hadapinya dengan tenang. Kini, rancangan mereka sudah sampai ke penamatnya. Malam itu menjadi saksi kepada kejayaan mereka. Seolah-olah Bandar kuale mengucapkan selamat pulang kepada mereka. Bunyi cangkerik saling bersahutan. Dirasakan ibarat bangunan besar tua itu dan pokok besar di sebelahnya menyambut kepulangan mereka. “Selamat kembali anak-anakku!”.

Selamat sudah cerita ini. Terima kasih kerana membacanya sehingga akhir. Tak sia-sia si penulis menulisnya selama dua minggu. Terima kasih daun keladi, nanti kita potong keladi itu buat masak gulai.


~ TAMAT ~

1 comment: